Dalam kebudayaan Kupu-kupu

Seni

Gambaran kupu-kupu dalam hasil seni sekian lama dipaparkan di budaya serata dunia, termasuklah tulisan hieroglif Mesir dari 3500 tahun dahulu.[51]

Di kota Mesoamerika purba Teotihuacan, gambar kupu-kupu yang berwarna-warni sekali diukirkan pada kuil-kuil, bangunan-bangunan, dan juga barang kemas, serta terpampang pada bekas dupa khususnya. Sesetengah kupu-kupu dilukiskan dengan mulut ternganga jaguar, dan sesetengah spesies kupu-kupu dipercayai sebagai kelahiran semula roh-roh pahlawan yang gugur. Kaitan rapat kupu-kupu dengan api dan peperangan berterusan hinggalan zaman tamadun Aztek. Bukti gambar kupu-kupu jaguar yang seumpamanya turut ditemui pada tinggalan tamadun Zapotec, dan Maya.[52]

Dulang yang berhiaskan kepak kupu-kupu

Simbolisme

Masyarakat tradisional Jepun menganggap kupu-kupu sebagai personifikasi roh seorang insan, baik yang hidup, nazak mahupun sudah meninggal. Menurut satu kepercayaan Jepun, jika seekor kupu-kupu memasuki ruang tamu dan bertenggek di belakang adang-adang buluh, tandanya orang yang paling dicintai sedang datang untuk bertemu dengan anda. Bagaimanapun, kupu-kupu yang berkerumun dianggap sebagai petanda buruk; apabila Taira no Masakado senyap-senyap membuat persiapan untuk memberontak, di Kyoto munculnya sekerumun kupu-kupu yang begitu banyak sehingga orang ramai ketakutan kerana menyangkanya sebagai petanda anasir jahat yang mendatang.[53]

Dalam bahasa Yunani kuno, "kupu-kupu" dipanggil ψυχή (psȳchē), yang umumnya bermaksud "jiwa" atau "minda".[54]

Menurut Encyclopedia of Religion oleh Mircea Eliade, sesetengah suku Naga di Manipur mengaku sebagai keturunan kupu-kupu.[55]

Kupu-kupu dan bunga-bunga wisteria, oleh Xü Xi (c.886–c.975), dilukis sekitar tahun 970 sewaktu awal Dinasti Song.

Dalam kebudayaan Cina, dua ekor kupu-kupu yang berterbangan sama-sama melambangkan cinta. Ahli falsafah Tao, Zhuangzi, pernah bermimpi akan seekor kupu-kupu yang berterbangan tanpa mengendahkan kaum manusia; tetapi setelah bangun dan sedar bahawa dirinya hanya bermimpi, beliau berfikir, "Adakah aku dahulu seorang yang bermimpi menjadi kupu-kupu, ataupun sekarang seekor kupu-kupu yang bermimpi menjadi manusia?"[56]

Pada tahun 1884, Jose Rizal berucap di sebuah jamuan dan menyebut akan "kepompong Timur ... bakal meninggalkan kokunnya", iaitu membandingkan kelahiran "Filipina baru" dengan metamorfosis kupu-kupu.[57] Beliau juga seringkali menggunakan gambaran kupu-kupu dalam puisi-puisi dan karangan-karangan beliau untuk melambangkan azam rakyat Filipina jajahan Sepanyol untuk merdeka.[58] Lama kemudian, dalam sepucuk surat kepada Ferdinand Blumentritt, Rizal menyamakan kehidupannya dalam buangan dengan kupu-kupu yang keletihan dengan kepaknya yang terselar oleh matahari.[59]

Der Schmetterlingsjäger (Pemburu kupu-kupu) oleh Carl Spitzweg (1840), satu gambaran zaman kegilaan mengumpul kupu-kupu.

Bak kata orang, kupu-kupu yang hinggap di atas orang membawa tuah. Bagaimanapun, menurut tradisi Devonshire, kupu-kupu pertama yang kelihatan mesti dibunuh, jika tidak malang nasib sepanjang tahun.[60] Di Filipina, kupu-kupu atau rama-rama dalam rumah menandakan sudah atau bakal matinya seorang ahli keluarga yang empunya rumah itu.[61]

Ilham kepada sains dan teknologi

Penyelidikan ke atas struktur kepak Kupu-kupu Kepak Burung Palawan telah mencetuskan rekabentuk layang-layang dan pesawat yang berentang sayap lebar.[62]

Kajian ke atas pemantulan dan penyerakan cahaya oleh sisik kepak kupu-kupu ekor layang-layang telah mencetuskan inovasi diod pemancar cahaya yang lebih cekap.[63]

Rujukan

WikiPedia: Kupu-kupu http://www.univie.ac.at/Voelkerkunde/apsis/aufi/ri... http://newswise.com/articles/view/547899/ http://www.saudiaramcoworld.com/issue/199405/butte... http://www.todayifoundout.com/index.php/2011/10/ca... http://www.stanford.edu/group/CCB/Pubs/Boggs_pdfs/... http://entomology.ifas.ufl.edu/creatures/main/sear... http://ebd06.ebd.csic.es/pdfs/Herrera.1987.Oikos.p... //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1617347 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC28060 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11380661